Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melancarkan versi baharu lesen memandu fizikal yang dilengkapi dengan 10 ciri keselamatan dan anti-pemalsuan terkini. Tujuan utama pelancaran ini adalah untuk meningkatkan perlindungan terhadap pemalsuan dan penyalahgunaan lesen.
Lesen baharu ini bukan sahaja tahan lebih lama dengan tempoh sah maksimum sehingga 10 tahun, malah menggunakan teknologi keselamatan terkini yang menjadikannya lebih sukar dipalsukan atau diganggu. Daripada segi reka bentuk, lesen ini turut menampilkan elemen visual yang lebih moden dan simbolik.
Buat masa ini, lesen fizikal baharu ini hanya dikeluarkan kepada dua kategori individu sahaja:
- Warganegara Malaysia yang perlu menggunakan lesen fizikal semasa berada di luar negara.
- Warga asing yang memperbaharui lesen memandu Malaysia mereka.
Bahagian hadapan memaparkan imej Bangunan Sultan Abdul Samad serta corak gelombang abstrak manakala bahagian belakang pula menonjolkan Istana Negara dan corak bunga abstrak yang menyerlahkan identiti dan warisan negara. Pelaksanaan lesen memandu baharu ini akan dilakukan secara berperingkat di pejabat JPJ terpilih.
Pada masa yang sama, lesen digital dalam aplikasi MyJPJ juga akan dikemas kini kepada reka bentuk baharu secara beransur-ansur. Bagi mereka yang masih menggunakan lesen fizikal versi lama yang belum tamat tempoh, tiada keperluan untuk menukarnya segera. Lesen sedia ada masih sah digunakan sehingga tarikh tamatnya.
Sumber: FB JPJ

