Site icon TechNave BM

JPN: Pengeluaran kad MyKid terpaksa ditangguh kerana kekurangan bekalan mikrocip

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh, memaklumkan bahawa pengeluaran kad pengenalan kanak-kanak MyKid untuk bayi baru lahir di Malaysia terpaksa ditangguhkan selama enam bulan kerana masalah kekurangan bekalan mikrocip di seluruh dunia.

Masalah kekurangan cip ini timbul sejak pandemik COVID-19 melanda, di mana syarikat mikrocip tidak dapat menghasilkannya dengan kadar pantas bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi di seluruh dunia. Pelbagai peranti elektronik seperti komputer, telefon pintar, kenderaan elektrik, konsol gaming dan banyak lagi mengalami pengilangan yang lebih rendah susulan daripada masalah ini.

Sungguh pun begitu, proses permohonan MyKid baharu masih diteruskan dan ibu bapa perlu menunggu untuk tempoh masa lebih lama sewaktu JPN menyelesaikan permohonan secara berperingkat.

Untuk urusan harian anak-anak yang memerlukan MyKid, ibu bapa boleh gunakan dokumen surat beranak kerana ia merupakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Datuk Ruslin meminta agensi kerajaan dan swasta supaya menerima surat beranak untuk urusan melibatkan kanak-kanak, kerana dokumen itu adalah satu-satunya dokumen yang diiktiraf untuk urusan penting seperti permohonan sekolah.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version