Site icon TechNave BM

Jualan hambar Galaxy S25 Edge paksa Samsung hentikan pengeluaran telefon ultra nipis

Samsung dilaporkan bakal menghentikan pengeluaran telefon pintar ultra nipis bawah siri Galaxy Edge yang menandakan berakhirnya era model berprofil ramping yang pernah menjadi identiti tersendiri dalam barisan peranti mereka. Menurut sumber, Samsung tidak akan melancarkan Galaxy S26 Edge tahun hadapan seperti yang sebelum ini dirancang.

Malah, pembangunan telefon nipis baharu dikatakan turut diberhentikan sepenuhnya. Antara faktor utama keputusan ini ialah jualan Galaxy S25 Edge yang kurang memberangsangkan di mana ia hanya mencatatkan 1.31 juta unit terjual setakat Ogos 2025 berbanding 8.28 juta unit bagi model standard Galaxy S25 dalam tempoh sama.

Kegagalan tersebut dipercayai berpunca daripada beberapa kekurangan ketara termasuk kapasiti bateri yang lebih kecil, tiada kamera telefoto, isu haba berlebihan dan harga jualan yang tinggi berbanding model biasa. Difahamkan, reka bentuk dan pembangunan Galaxy S26 Edge sebenarnya telah siap sepenuhnya, namun Samsung memutuskan untuk tidak meneruskan fasa pengeluaran besar-besaran.

Langkah ini juga menandakan perubahan arah syarikat yang kini lebih menumpukan kepada peranti lipat dan model premium berprestasi tinggi berbanding telefon ultra nipis yang semakin kurang permintaan. Walaupun sesetengah pengguna masih meminati telefon berprofil nipis, industri kini beralih ke arah peranti yang menyeimbangkan ketahanan, kapasiti bateri dan prestasi.

Dengan kemunculan telefon boleh lipat yang semakin ringan dan tipis, konsep “Edge” mungkin sudah tidak lagi relevan dalam strategi Samsung. Namun, pemerhati industri berpendapat bahawa jenama lain mungkin akan cuba menghidupkan semula trend telefon nipis dengan teknologi baharu yang lebih efisien.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: NewsPim

Exit mobile version