Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan sebanyak 63,652 kandungan media sosial yang mempunyai unsur-unsur penipuan sepanjang tahun lepas.
Ini adalah peningkatan yang sangat ketara berbanding 6,297 kandungan penipuan yang diturunkan pada 2023, dan menunjukkan peningkatan sekitar 10 kali ganda pada 2024.
Menurut beliau, jenis penipuan yang dikenal pasti melibatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti deepfake, menyamar sebagai individu terkenal, video, grafik dan perkataan. Pelbagai video deepfake telah pun digunakan untuk menghasilkan video palsu menggunakan iras muka tokoh-tokoh terkenal seperti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Tambahan lagi, beliau percaya masih banyak lagi kandungan palsu di luar sana kerana jumlah 63,652 ini hanyalah berdasarkan kandungan yang telah diadukan kepada MCMC. Oleh yang demikian, beliau menggesa orang ramai supaya menjadi lebih peka dan prihatin terhadap sebarang kandungan yang ditonton dalam internet.
Dalam pelbagai jenis penipuan ini, beliau mengatakan penipuan pelaburan adalah scam yang paling besar, seperti “Investment Guru” yang telah menggunakan imej Zeti Akhtar untuk menarik minat orang ramai menyertai pelaburan palsu.
Beliau juga menyeru penyedia platform media sosial seperti TikTok dan Meta untuk meningkatkan usaha pemantauan dan semakan, terutamanya dengan peningkatan kandungan palsu yang menggunakan teknologi AI.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA

