Site icon TechNave BM

Jutaan pengguna masih lagi menggunakan “123456” dan “password” sebagai kata laluan dalam internet

Perkhidmatan janaan kata laluan NordPass telah menyenaraikan senarai 200 kata laluan yang paling banyak digunakan pada tahun 2020, dan nampaknya jutaan pengguna internet di seluruh dunia masih menggunakan kata laluan yang sangat berisiko seperti “123456”, “password” dan “picture1”.

Kata laluan ringkas seperti ini amat berisiko kerana penggodam boleh mengakses pelbagai akaun anda dengan sangat mudah. Menurut sumber, 2.54 juta orang masih menggunakan “123456” sebagai kata laluan mereka, manakala lain-lain kata laluan ringkas seperti “123456789” dan “picture1” masing-masing mempunyai lebih 960,000 dan 370,000 pengguna.

Kata-kata laluan ringkas yang masih digunakan oleh jutaan orang termasuklah “111111”, “123123”, “senha”, “qwerty”, “abc123”, “000000”, “iloveyou”, “qqww1122” dan banyak lagi. Semua kata laluan yang terdapat dalam senarai ini boleh digodam dengan sangat cepat, dengan jurang daripada beberapa milisaat hinggalah lapan jam.

TechNave menasihati para pengguna agar sentiasa menggunakan kata laluan yang sukar diramal dan jangan gunakan kata laluan yang sama bagi setiap akaun dalam internet. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: NordPass

Exit mobile version