Site icon TechNave BM

K-KOMM: 839 lokasi di Malaysia boleh akses internet menggunakan teknologi satelit

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mengumumkan sebanyak 839 lokasi di seluruh negara kini telah mendapat akses internet menggunakan teknologi satelit. Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, lokasi berkenaan kini telah dipasang akses tanpa wayar jalur lebar (BWA) yang menggunakan teknologi satelit termasuk kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak serta perkampungan Orang Asli.

Menurut Bernama, Annuar berkata masih terdapat kira-kira 1400 lokasi di seluruh negara yang memerlukan perkhidmatan BWA. Menteri K-KOMM itu berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita selepas menghadiri jawatankuasa pemandu Rangkaian Digital Nasional Malaysia (JENDELA) di Kuala Lumpur semalam.

Selain itu, Annuar turut mendedahkan K-KOMM telah meluluskan penubuhan jawatankuasa khas penyeragaman kos, caj dan yuran pembangunan infrastruktur di negeri-negeri. Ini bertujuan untuk menangani caj dan bayaran tidak seragam yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) serta memastikan kelancaran dan kesinambungan projek pembangunan infrastruktur komunikasi.

Pengenalan jawatankuasa khas itu juga bertujuan untuk menggalakkan penyedia perkhidmatan meningkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur komunikasi secara keseluruhan dan menambah baik kesalinghubungan jalur lebar di kawasan bandar dan luar bandar.

Annuar turut menegaskan K-KOMM telah mula melaksanakan projek Point-of-Presence (POP) dan mengharapkan kerjasama PBT. Sebelum ini, K-KOMM mengumumkan bahawa kerajaan sedang memasang hab rangkaian gentian optik PoP di 700 sekolah luar bandar di Sabah bagi memberikan kestabilan kepada perkhidmatan internet jalur lebar di negeri ini.

Jadi, apa pendapat anda tentang kenyataan K-KOMM? Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version