Site icon TechNave BM

K-KOMM ambil tindakan tegas untuk elakkan kebocoran data rakyat Malaysia

Baru-baru ini, terdapat satu isu tular di Twitter yang melibatkan penjualan data peribadi rakyat Malaysia oleh sebuah laman web sumber terbuka (open-source intelligence) dan ini telah menimbulkan keresahan di kalangan orang ramai.

Bagi mengelakkan kes kebocoran data lanjut, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) telah mengeluarkan arahan sekatan terhadap laman web tersebut kepada pembekal perkhidmatan internet (ISP) bagi menghalang urusan jual beli di laman web itu. Ia telah disekat sejak 6:30 petang pada hari Ahad, 12 Jun 2022.

K-KOMM turut melaksanakan siasatan segera bersama Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), CyberSecurity Malaysia (CSM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

K-KOMM akan terus memantau pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial, bertepatan dengan prinsip bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709]. Data peribadi milik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri pula akan sentiasa dipastikan keselamatannya oleh NACSA dan agensi-agensi berkaitan.

Kementerian itu turut mengingatkan bahawa mana-mana individu yang terlibat dengan penjualan data peribadi boleh didenda sehingga RM500,000, penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam sebuah ciapan yang tular pada minggu lalu, seorang pengguna Twitter berkongsi sebuah alat open source yang membenarkan sesiapa sahaja untuk mendapatkan data peribadi rakyat Malaysia seperti nombor MyKad, alamat rumah, maklumat undi, nombor telefon, pemilikan kenderaan, saman trafik dan maklumat MySejahtera. Untuk mengakses alat tersebut, seseorang perlu membayar sejumlah wang kepada pembinanya.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version