Site icon TechNave BM

K-KOMM: Lebih 220,000 tablet PerantiSiswa telah diedarkan kepada pelajar yang layak

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mendedahkan lebih 220,000 atau sehingga 60 peratus tablet di bawah program PerantiSiswa Keluarga Malaysia telah diedarkan kepada pelajar di seluruh negara. Secara keseluruhan, K-KOMM telah menerima 470,000 permohonan dan lebih kurang 350,000 telah diluluskan.

Seperti yang dilaporkan, K-KOMM telah mengedarkan tablet PerantiSiswa kepada pemohon yang diluluskan selama kira-kira dua bulan dengan baki pemohon yang layak bakal menerimanya tidak lama lagi. Di Sarawak, sebanyak 22,256 permohonan telah diterima dan 16,505 atau 70 peratus daripada tablet itu telah diagihkan kepada pelajar yang layak.

Semalam, 25 pelajar di Selangau, Sarawak menerima tablet PerantiSiswa mereka terus daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa merasmikan projek Lebuhraya Pan Borneo bahagian Selangau.

Kira-kira 400 pelajar kemudian menerima tablet mereka semasa pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama penerima biasiswa kerajaan negeri Sarawak di Universiti Teknologi Sarawak di Sibu.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version