Site icon TechNave BM

K-KOMM: Program PerantiSiswa mungkin diperluas kepada pelajar B40 luar institusi KPT

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) berkata bantuan peranti PerantiSiswa Keluarga Malaysia mungkin diperluaskan kepada pelajar B40 di luar institusi di bawah bidang kuasa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Buat masa ini, program tersebut hanya terbuka kepada pelajar yang mengikuti pengajian di bawah KPT iaitu institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, sekiranya cukup kapasiti dengan siling bajet yang diberikan kepada kementeriannya, K-KOMM akan mengembangkannya berdasarkan permintaan. Jelasnya lagi, sejak permohonan PerantiSiswa dibuka pada 15 April lalu, terdapat permohonan diterima daripada pelajar luar KPT.

Bernama melaporkan pelajar-pelajar ini adalah daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM). Oleh itu, sekiranya ada kapasiti yang mencukupi, K-KOMM akan mempertimbangkan untuk menyediakan tablet PerantiSiswa kepada pelajar ini dalam fasa kedua program tersebut.

Annuar turut mengulas bilangan pelajar yang dijangka menerima bantuan itu berbeza dengan angka yang diumumkan dalam Bajet 2022. Jelasnya, jumlah asal 600,000 pelajar adalah anggaran bajet.

K-KOMM mendapati jumlah sebenar pelajar B40 di institut pengajian tinggi sebenarnya lebih rendah daripada jangkaan. Justeru, kementerian berpendapat menyediakan peranti murah kepada pelajar bukanlah satu pilihan yang sesuai.

Annuar menegaskan bahawa pelajar memerlukan peranti berkeupayaan tinggi dan K-KOMM bakal memperoleh tablet berkualiti tinggi dengan bilangan pelajar B40 dianggarkan 400,000. Walau bagaimanapun, kementerian akan menunggu jumlah sebenar permohonan terlebih dahulu bagi mengelak pembaziran.

Kongsikan pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: Bernama

Exit mobile version