Site icon TechNave BM

K-KOMM: Rangkaian 4G di Sabah meliputi 86.9%

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa semalam mendedahkan bahawa liputan rangkaian 4G di Sabah kini mencapai 86.9% di kawasan berpenduduk. Ini adalah hasil usaha bersepadu dalam memperkasakan infrastruktur perkhidmatan jalur lebar di negeri ini khususnya melalui Pelan Rangkaian Digital Nasional (JENDELA).

Seperti dilaporkan Bernama, walaupun Annuar berpuas hati dengan kemajuan pembangunan di bawah JENDELA, K-KOMM tetap mahu projek pembangunan yang dirancangnya disegerakan. Ini termasuk membina menara telekomunikasi baharu dan menaik taraf yang sedia ada.

Selain itu, Annuar juga berkata kementeriannya bersetuju supaya Suruhanjaya K-KOMM di negeri-negeri tertentu berbincang dengan kerajaan negeri masing-masing sama ada kawasan berpenduduk mereka benar-benar dimasukkan dalam pemetaan K-KOMM. Beliau seterusnya mengulas bahawa mencapai liputan rangkaian 4G dan kualiti liputan adalah dua perkara yang berbeza.

Annuar kemudian menegaskan bahawa apabila ia berkaitan dengan rangkaian jalur lebar, jangkauan liputan tidak statik sebaliknya dinamik. Apabila orang ramai kembali ke kampung halaman mereka dan terdapat ramai pengguna internet di kawasan itu, kelajuan pasti akan terjejas.

Apa pendapat anda tentang kenyataan Menteri K-KOMM? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version