Site icon TechNave BM

K-KOMM: Tempoh rundingan pelaksanaan 5G antara DNB dan syarikat telko sehingga 30 Jun ini

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mendedahkan bahawa rundingan masih diteruskan antara syarikat telekomunikasi dan Digital Nasional Bhd (DNB) mengenai perjanjian perkhidmatan rangkaian 5G di Malaysia menurut menterinya, Tan Sri Annuar Musa.

Seperti dilaporkan agensi berita nasional Bernama, Annuar semalam menegaskan semua syarikat masih dalam proses merundingkan harga atau nilai ekuiti yang ditawarkan. Beliau seterusnya menegaskan bahawa syarikat telekomunikasi diberi tempoh sehingga 30 Jun 2022 untuk memuktamadkan penyertaan mereka.

Dalam kenyataan sama, menteri K-KOMM itu turut menafikan laporan dalam talian bahawa hanya TM dan YTL telah bersetuju untuk memiliki pegangan ekuiti dalam DNB. Beliau mengatakan laporan sedemikian sebagai tidak tepat dan sebaliknya menjelaskan bahawa semua syarikat masih dalam fasa rundingan.

Sebelum ini, Annuar berkata kerajaan bersetuju membenarkan syarikat telekomunikasi tempatan utama memiliki 70 peratus ekuiti dalam DNB. Beliau juga memuji bagaimana model rangkaian borong tunggal DNB akan membolehkan kadar perkhidmatan 5G yang lebih murah di Malaysia.

Apakah pendapat anda tentang situasi rangkaian 5G di Malaysia? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: Bernama

Exit mobile version