Site icon TechNave BM

K-KOMM: Tindakan akan diambil terhadap penerima PerantiSiswa yang menjual tablet tersebut

Baru-baru ini, beberapa tablet yang diterima oleh para pelajar melalui bantuan PerantiSiswa didapati telah dijual semula dalam platform e-dagang seperti Carousell dan Shopee. Tindakan ini menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen kerana tablet tersebut sepatutnya digunakan oleh penerimanya sahaja untuk tujuan pendidikan, dan bukannya dijual semula kepada orang lain.

Mengulas tindakan ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Tan Sri Annuar Musa berkata tindakan tegas akan diambil terhadap para pelajar yang menjual peranti tersebut. K-KOMM memandang serius terhadap perkara ini dan menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak wajar.

Setakat ini, terdapat 14 kes yang membabitkan penjualan semula tablet PerantiSiswa dalam internet. Terdapat juga peranti yang telah disekat penggunaannya.

Contoh tablet PerantiSiswa yang dijual semula

Beliau berkata semua tablet PerantiSiswa mempunyai sistem pengesan lokasi, di mana ia boleh dijejak sama ada ia berada di kawasan kampus atau sebaliknya. Sistem pengesan ini telah dibina sewaktu ia mula ditempah dan pihak K-KOMM boleh tahu sama ada peranti tersebut ada bersama penerimanya atau tidak.

Sebelum ini, mahasiswa yang memohon bantuan PerantiSiswa telah membuat aku janji yang mengatakan bahawa mereka layak dan akan mengunakan sendiri peranti tersebut. Jika tablet itu dijual, ini bermakna mahasiswa telah melanggar aku janji itu.

Antara tindakan yang boleh diambil adalah memaparkan nama-nama mahasiswa yang menjual tablet ini kepada pihak umum, sama ada dalam portal PerantiSiswa atau universiti berkenaan.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Astro Awani

Exit mobile version