Mulai hari ini, kad Touch ‘n Go baharu boleh didapati secara rasmi di Lazada melalui kedai rasmi Touch ‘n Go eWallet di LazMall. Kad ini masih hangat dicari oleh orang ramai kerana ia memudahkan pengguna untuk menambah nilai melalui telefon pintar mereka dengan keupayaan NFC.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lazada mengumumkan bahawa kad TnG itu boleh dibeli pada harga runcitnya RM10 setiap satu menggunakan pembayaran Touch ‘n Go eWallet. Pelancaran kerjasama ini dibuat bersempena dengan Lazada 9.9 Brands & Beyond Sale yang berlangsung pada hari ini.
Lazada menjelaskan dengan membeli melalui LazMall, pelanggan dijamin keaslian kad dan stok akan diisi semula secara beransur-ansur untuk menampung permintaan orang ramai. Sama seperti cara ia dijual pada aplikasi Touch ‘n Go eWallet, setiap pengguna Lazada hanya boleh membeli satu Kad Touch ‘n Go baharu ini.
Selain itu, Lazada juga mengumumkan bonus tambahan bagi mereka yang menyemak troli mereka semasa Jualan 9.9 menggunakan Touch ‘n Go eWallet akan layak menerima potongan RM5 dengan perbelanjaan minimum RM50 apabila mengumpul dan menebus baucar khas di sini.
Beri pendapat anda di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

