Satu kajian sistematik dan meta-analisis terkini yang diterbitkan dalam Psychological Bulletin mendedahkan bahawa menonton video pendek seperti TikTok, Instagram Reels dan YouTube Shorts mempunyai kaitan ketara dengan fungsi kognitif dan kesihatan mental yang lebih lemah. Kajian ini mengumpulkan data daripada lebih 98,000 peserta merangkumi 71 kajian berbeza.
Hasil kajian menunjukkan hubungan yang konsisten antara penggunaan kandungan video berdurasi pendek dengan penurunan prestasi kognitif terutamanya kemampuan fokus dan kawalan perhatian. Korelasi negatif bagi aspek perhatian direkodkan sekitar r = –0.38 manakala kawalan penyekatan mencatatkan r = –0.41.
Berdasarkan keputusan, penonton tegar video pendek lebih cenderung mengalami kesukaran mengekalkan fokus serta menapis gangguan semasa melakukan tugasan mental. Daripada sudut kesihatan mental, keputusan kajian turut menemukan hubungan negatif sederhana antara penggunaan video pendek dengan tahap stres dan kebimbangan yang masing-masing pada sekitar r = –0.34 dan r = –0.33.
Ini menunjukkan semakin tinggi pendedahan kepada video pendek, semakin meningkat risiko mengalami tekanan mental walaupun kesannya lebih sederhana berbanding impak terhadap kognitif. Penyelidikan sedia ada banyak memberi tumpuan kepada aspek perhatian sahaja yang menyebabkan domain kognitif lain seperti ingatan, penaakulan dan fungsi kurang diterokai.
Penyelidik menggesa kajian lanjutan dilakukan bagi memahami bagaimana kandungan, tempoh penggunaan dan jenis interaksi mempengaruhi kesihatan mental serta tingkah laku pengguna. Kepada pembaca, kami sarankan anda untuk mengawal kandungan yang dibaca, tonton dan tatal kerana boleh mempengaruhi kesihatan, kognitif serta mental.
Kongsi pendapat anda di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Research Gate

