Site icon TechNave BM

Kajian oleh Visa dapati 74% rakyat Malaysia lakukan pembayaran tanpa tunai

Kajian baharu oleh Visa mendapati 93 peratus pengguna di Asia Tenggara telah menerima kaedah pembayaran tanpa tunai termasuk kad, kad tanpa sentuh, pembayaran tanpa sentuh, dompet digital dan kod QR. Kajian mendapati 74 peratus pengguna di Malaysia telah membiasakan diri dengan pembayaran tanpa tunai.

Tinjauan terbaru ini yang dipanggil Kajian Sikap Pembayaran Pengguna 2022 ‘Melayari Era Baharu Dalam Pembayaran’ oleh Visa dan dijalankan dari Ogos hingga September 2021. Keputusan ini hasil daripada 6520 pengguna berumur 18 hingga 65 tahun di Singapura, Malaysia, Thailand , Indonesia, Filipina, Vietnam dan Kemboja.

Seperti yang dilaporkan Bernama, kajian mendapati pembayaran tanpa tunai diterajui oleh pengguna di Singapura (97 peratus), Malaysia (96 peratus), Indonesia (95 peratus) dan Vietnam (95 peratus). Sementara itu, wang tunai kekal dominan di Kemboja, Filipina dan Vietnam walaupun semakin ramai pengguna di sana memilih untuk pembayaran tanpa tunai.

Di rantau Asia Tenggara, 56 peratus pengguna kurang kerap menggunakan wang tunai sejak permulaan wabak COVID-19. Ia berlaku terutama di Indonesia (68 peratus), Filipina (66 peratus) dan Malaysia (60 peratus). Selain itu, kad tanpa sentuh akan meningkat penggunaanya di rantau ini disebabkan kesedaran yang tinggi (69 peratus) dan minat (75 peratus).

Negara yang mempunyai kesedaran tertinggi ialah Singapura (90 peratus) diikuti oleh Thailand (87 peratus) dan Malaysia (84 peratus). Negara dengan minat yang tertinggi adalah di Filipina (89 peratus), Thailand (86 peratus) dan Vietnam (83 peratus). Bagi Malaysia khususnya, 74 peratus pengguna telah berjaya membiasakan diri dengan pembayaran tanpa tunai.

Penggunaan perkhidmatan penghantaran ke rumah kekal tinggi di Malaysia dengan 9 dalam 10 pengguna menggunakan perkhidmatan sedemikian. Terdapat beberapa sebab mengapa rakyat Malaysia kurang membawa wang tunai.

Kajian mendapati ia berpunca daripada peningkatan penggunaan pembayaran tanpa sentuh (75 peratus), peningkatan penggunaan pembayaran kad (60 peratus) dan penerimaan pembayaran tanpa tunai yang lebih meluas (45 peratus). Apakah pendapat anda tentang kajian oleh Visa ini?

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: Bernama

Exit mobile version