Site icon TechNave BM

Kaka dipilih sebagai duta jenama OPPO menjelang final Liga Juara-Juara UEFA

OPPO mungkin menghadapi isu di Eropah tetapi syarikat itu masih berminat untuk mempromosikan telefon utamanya iaitu Find N2 Flip dan Find X6 Pro. OPPO mengumumkan bahawa mereka memperluaskan perkongsian Liga Juara-Juara UEFA dengan menandatangani bekas pemain Brazil iaitu Kaka untuk menjadi duta jenama global.

Sebagai bekas Pemain Terbaik Dunia FIFA, pemenang Ballon d’Or, Liga Juara-Juara UEFA, Piala Dunia FIFA dan banyak lagi, Kaká ialah ikon dalam dunia bola sepak dan salah seorang pemain yang paling sensasi pada eranya di peringkat kelab mahupun antarabangsa.

Sebagai sebahagian daripada perkongsian, bekas bintang Sao Paolo, AC Milan dan Real Madrid itu akan mengambil bahagian dalam acara di seluruh dunia dengan mempromosikan jenama OPPO dan telefon pintar utamanya.

Kaka akan melawat Indonesia pada 3 Jun dan China pada 5 Jun sebelum bertemu dengan peminat global di Istanbul, Turki, tempat final Liga Juara-Juara UEFA berlangsung pada 10 Jun. Kaka teruja untuk berpeluang bekerjasama dengan peneraju teknologi global seperti OPPO dan beliau sendiri adalah peminat teknologi.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: OPPO

Exit mobile version