Site icon TechNave BM

Kamera Sony kini boleh digunakan sebagai ‘webcam’ untuk panggilan video

Panggilan video kini sudah pun menjadi kebiasaan pada waktu pandemik ini apabila ramai orang mula bekerja dari rumah. Pelbagai syarikat kamera telah memperkenalkan perisian untuk menjadikan kamera mereka kepada sebuah webcam dan kini Sony turut mengambil langkah yang sama.

Sony memperkenalkan perisian Imaging Edge Webcam yang membenarkan pengguna kamera-kamera Sony terpilih untuk dijadikan webcam yang boleh menyiarkan video berkualiti tinggi. Kamera yang disokong termasuklah kamera tanpa cermin (mirrorless) Sony Alpha dan kamera digital Sony RX. Untuk senarai kamera penuh, anda boleh lihat di laman web ini.

Pengguna hanya perlu menghubungkan kamera Sony kepada komputer menggunakan kabel USB. Kamera perlulah ditetapkan kepada Auto terlebih dahulu, kemudian apabila panggilan video sudah dimulakan dalam komputer, kamera itu perlu ditetapkan kepada mod Video.

Walau bagaimanapun, Imaging Edge Webcam hanya boleh menyiarkan video dengan resolusi 1024 x 576. Selain itu, ia juga tidak menyokong penggunaan mikrofon dalam kamera jadi pengguna perlu menggunakan mikrofon berasingan untuk audio.

Adakah anda akan menggunakan kamera Sony untuk menghadiri mesyuarat video selepas ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Sony

Exit mobile version