Site icon TechNave BM

Kamus Dewan Perdana versi web dilancar — Lebih lengkap, tapi bakal berbayar

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melancarkan versi web bagi Kamus Dewan Perdana pada 10 April lalu selepas melalui beberapa fasa ujian sejak tahun lepas. Platform ini menawarkan rujukan Bahasa Melayu yang lebih komprehensif dengan paparan definisi perkataan, contoh penggunaan, sebutan dan ejaan Jawi dalam satu halaman yang lebih tersusun.

Setiap perkataan kini disertakan nombor pengenalan tersendiri manakala hasil carian dibahagikan kepada beberapa kategori seperti kata masukan, kata terbitan dan asal usul perkataan bagi memudahkan rujukan. Selain itu, pengguna juga boleh melihat statistik carian harian bagi mengenal pasti perkataan yang sohor kini.

Walau bagaimanapun, DBP memaklumkan akses kepada versi web hanya akan diberikan secara percuma untuk tempoh terhad sebelum bayaran langganan dikenakan. Setakat ini, kadar bayaran tersebut masih belum diumumkan. Dalam masa sama, DBP juga merancang untuk menambah kandungan secara berperingkat termasuk integrasi kamus lain pada masa akan datang.

Pelancaran Kamus Dewan Perdana turut menimbulkan persoalan mengenai masa depan laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang ketika ini menawarkan fungsi hampir sama termasuk semakan penggunaan kata secara percuma. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Kamus Dewan Perdana

Exit mobile version