Site icon TechNave BM

Kanak-kanak 6 tahun di Johor dikelar mungkin kerana hilangkan 1 juta point Roblox

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan bahawa seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Batu Pahat, Johor telah dikelar oleh abangnya, mungkin kerana terdapat pertelingkahan dengan game popular Roblox.

Mangsa kejadian yang berlaku di Kampung Parit Nipah Laut itu ditemui dengan kesan kelar di leher serta luka tikaman pada badannya. Siasatan mendapati ia telah dilakukan oleh abangnya yang berumur sembilan tahun, namun motif kejadian masih lagi dalam siasatan.

Polis tidak menolak kemungkinan bahawa ia mungkin melibatkan game Roblox yang telah dipasang dalam telefon pintar milik abang mangsa. Beliau telah meluangkan masa yang lama dalam game itu dan berjaya mengumpul sekitar satu juta mata di dalamnya.

Polis mendapati mangsa telah merosakkan telefon tersebut, lantas menyebabkan mata Roblox yang dikumpul itu hilang. Mereka percaya bahawa abang mangsa mengambil sebilah pisau dalam rumah dan mencederakan mangsa, namun siasatan masih lagi diteruskan untuk menentukan motifnya.

Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Batu Pahat dan berada dalam keadaan stabil. Beliau dan abangnya juga berada bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana kedua-duanya di bawah umur.

Ibu bapa mangsa dan abangnya juga telah ditahan oleh polis untuk membantu siasatan.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Kosmo

Exit mobile version