Site icon TechNave BM

KDN kini ada ‘Menteri AI’ untuk jawab soalan rakyat, sokong 12 bahasa

Kementerian Dalam Negeri (KDN) melancarkan inisiatif AI Digital Human sebagai saluran interaktif baharu berasaskan teknologi kecerdasan buatan bagi mengendalikan soalan dan soalan lazim daripada masyarakat. Pelancaran dilakukan menerusi rangka kerja “AI for KDN, KDN for AI” yang dibangunkan sejak tiga tahun lalu.

Sistem AI Digital Human membolehkan pengguna berinteraksi terus dengan wakil maya KDN yang menggunakan penampilan avatar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Sistemnya direka untuk menjawab soalan berkaitan pelbagai perkhidmatan dan fungsi di bawah bidang kuasa kementerian.

Sistem interaktif ini menyokong komunikasi dalam 12 bahasa termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil, Bahasa Jepun dan Bahasa Arab. Fungsinya dibangunkan bagi memudahkan rakyat tempatan serta pelawat asing mendapatkan maklumat rasmi dengan lebih jelas.

Pihak kementerian mengesahkan perkhidmatan ini berfungsi sebagai saluran pelengkap kepada sistem penyampaian sedia ada dan tidak meggantikan peranan pegawai sedia ada. Selain itu, KDN turut merancang memperluas penggunaan teknologi AI melalui penyediaan kios pelbagai bahasa di lapangan terbang bagi membantu pelancong asing membuat laporan polis.

Sistem AI ini merupakan sebahagian daripada sasaran kementerian untuk meningkatkan tahap kesediaan AI dalam kalangan warganya yang kini mencapai 75 peratus. Maklumat lanjut mengenai cara akses awam kepada perkhidmatan AI Digital Human dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Facebook KDN

Exit mobile version