Site icon TechNave BM

KDN: Mangsa banjir boleh ganti kad pengenalan, sijil kelahiran secara percuma

Dengan bencana banjir besar yang melanda beberapa negeri pada waktu ini, Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengumumkan bahawa mangsa banjir yang kehilangan dokumen-dokumen identiti seperti sijil kelahiran atau kad pengenalan, boleh menggantikannya secara percuma.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata selepas musim banjir, para pegawai JPN akan membuka kaunter dan menggerakkan bas bergerak ke kawasan yang terjejas bagi memudahkan mangsa banjir menggantikan dokumen identiti yang hilang. Beliau berharap usaha ini akan meringankan beban mangsa banjir dalam membina semula kehidupan mereka sebaik sahaja bencana ini reda.

Setakat jam 8:00 pagi hari ini, seramai 152,377 mangsa banjir telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatakan situasi banjir terkini adalah lebih teruk berbanding tahun 2014, namun beliau yakin dengan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang meramalkan hujan akan berkurangan dalam masa terdekat.

Beritahu kami di Facebook jika inisiatif ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version