Site icon TechNave BM

KDN: Rakyat Malaysia terperangkap di luar negara kerana mudah percaya iklan dalam media sosial

Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sesetengah rakyat Malaysia mudah terpengaruh dengan iklan kerja kosong di negara luar yang dipaparkan dalam platform media sosial dan ini menjadi antara faktor yang membuatkan rakyat Malaysia terperangkap di negara tersebut.

Dalam iklan pekerjaan yang palsu ini, pemohon kononnya akan diberi upah lumayan, tempat tinggal selesa, tambang kapal terbang dan banyak lagi janji-janji manis.

Sebaik sahaja rakyat Malaysia yang memohon pekerjaan melalui iklan di media sosial ini mula menyedari bahawa pekerjaan itu sebenarnya lebih indah khabar daripada rupa, ada yang sempat menghubungi pihak polis untuk membawa mereka pulang ke Malaysia.

Ahli keluarga atau ibu bapa juga akan membuat laporan kepada pihak polis tentang kehilangan ahli keluarga mereka yang terlibat dalam pekerjaan palsu dan meminta bantuan daripada kerajaan untuk menyelamatkan mereka.

Beliau merujuk kepada kes baru-baru ini di mana ibu kepada Chong Sum Ye, seorang wanita Malaysia berumur 22 tahun, disyaki hilang di Chiang Mai, Thailand. Kes ini kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kes kehilangan wanita itu dan setakat ini beliau masih belum menerima sebarang maklumat perkembangan tentang kes tersebut.

TechNave berharap para pembaca akan berwaspada terhadap sebarang bentuk iklan palsu dalam media sosial. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version