Site icon TechNave BM

Kecurian elektrik untuk lombong “bitcoin” di Malaysia meningkat, punca kerugian RM2.3 bilion

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Alam Sekitar Takiyuddin Hassan, kecurian elektrik di seluruh negara bagi tujuan perlombongan bitcoin telah meningkat sebanyak 400% sejak empat tahun lepas.

Setakat ini terdapat 7,209 kes kecurian elektrik dicatatkan untuk tempoh tersebut iaitu 610 kes pada 2018, 1,043 kes pada 2019, 2,465 kes pada 2020 dan 3,091 kes pada 2021. Kecurian ini telah menyebabkan kerugian sebanyak RM2.3 bilion untuk pihak kerajaan.

Beliau mengatakan peningkatan ini amat merisaukan kerana ia bukan sahaja menjejaskan nilai industri elektrik, malah mengganggu kestabilan bekalan tenaga elektrik serta keselamatan awam.

Selain itu, meter elektrik pula selalunya telah dirosakkan oleh pencuri elektrik dan ia gagal menunjukkan bekalan elektrik sebenar yang digunakan.

Penggunaan mesin perlombongan bitcoin berkuasa tinggi yang beroperasi selama 24 jam tanpa henti boleh menyebabkan litar pintas kerana penggunaan elektrik yang lebih tinggi daripada kapasiti kabel. Ini juga boleh menyebabkan kebakaran dalam premis.

Beliau memberi amaran bahawa sesiapa didapati mencuri elektrik yang disediakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali gus, di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Sinar Harian

Exit mobile version