Site icon TechNave BM

Kelajuan 5G di Malaysia 16.8x lebih pantas berbanding 4G, lebih pantas dari Thailand

Firma telekomunikasi antarabangsa Opensignal telah menerbitkan sebuah laporan yang menunjukkan prestasi rangkaian 5G di Malaysia sejak awal tahun ini. Ia melaporkan prestasi untuk pelbagai kategori, seperti kelajuan muat turun dan muat naik serta pengalaman dalam game dan tontonan video.

Firma itu mengatakan bahawa kelajuan muat turun purata yang disediakan oleh rangkaian 5G di Malaysia adalah 16.8 kali ganda lebih pantas berbanding rangkaian 4G sebelum ini. Kelajuan purata 5G adalah 284.9 Mbps, manakala 4G pula mencatatkan 16.9 Mbps sahaja.

Kelajuan ini adalah lebih tinggi sebanyak 172.2% daripada rangkaian 5G di Thailand, yang mencatatkan purata 104.7 Mbps sahaja. Sungguh pun begitu, rangkaian 5G Malaysia masih tidak mengatasi kelajuan di Singapura yang mencatatkan purata 332.6 Mbps.

Untuk kelajuan muat naik pula, rangkaian 5G menyaksikan peningkatan yang lebih sekata, iaitu sebanyak enam kali ganda daripada 4G. Kelajuan muat naik purata untuk 5G adalah sebanyak 38.1 Mbps, manakala 4G pula adalah 6.3 Mbps.

Dalam kategori Games Experience, Opensignal turut melaporkan bahawa gamers di Malaysia menyifatkan rangkaian 5G tempatan sebagai Bagus (Good) dan lebih baik daripada Memuaskan (Fair) dalam 4G. Ini bermaksud gamers tidak alami sela masa (lag) yang lama sewaktu bermain game dan boleh mengawal karakter dengan lebih baik.

Rakyat Malaysia juga melaporkan kualiti tontonan video yang lebih tinggi dalam 5G. Dalam kategori Video Experience, responden mengatakan kualiti video adalah Sangat Bagus (Very Good) dan jauh lebih baik daripada 4G yang sekadar Memuaskan (Fair). Ini adalah kerana penonton kini boleh menikmati video resolusi tinggi tanpa perlu menunggu waktu buffer.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Opensignal

Exit mobile version