Site icon TechNave BM

Kelantan guna satelit untuk tingkatkan liputan internet, 200 lokasi terima manfaat

Kerajaan Kelantan telah mengenal pasti 200 lokasi di negeri itu yang masih tidak mempunyai akses internet, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob. Beliau berkata pada masa ini kerajaan negeri sedang berusaha menambah baik capaian internet di semua lokasi melalui kerjasama antara Kelantan Gate dan BiNa Net.

“Insya Allah melalui kerjasama ini, kita akan dapat menyediakan perkhidmatan internet melalui satelit kepada rakyat di negeri ini khususnya di luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan inisiatif Perkhidmatan Internet Satelit Luar Bandar (PeSAT) di Jeram Mengaji.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata pemancar telekomunikasi akan dipasang di 50 sekolah di bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan (YIK). “Ini juga akan membolehkan pelajar di sekolah mendapat akses internet yang lebih baik bagi memudahkan proses pembelajaran mereka,” katanya.

Mengenai kos penggunaan Internet, Ahmad berkata ia akan ditentukan oleh pembekal perkhidmatan. Tambahnya, tumpuan juga akan diberikan untuk menambah baik capaian internet di 18 perkampungan Orang Asli di negeri ini dengan sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kerjasama bersepadu antara agensi kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan terutamanya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat diperhebatkan bagi memastikan pelaksanaan projek-projek di bawah Jendela berjalan lancar.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: HarakahDaily

Exit mobile version