Site icon TechNave BM

Keluaran telefon boleh lipat meningkat sebanyak 309% dari 2019, Samsung kuasai pasaran

Omdia yang merupakan sebuah kumpulan penyelidik dan penasihat global yang memberi tumpuan kepada industri teknologi. Baru-baru ini, Omdia telah berkongsi laporan mengenai pasaran telefon pintar boleh lipat pada 2021. Samsung menguasai pasaran dengan Galaxy Z Flip 3 5G menjadi peranti boleh lipat terlaris tahun lepas .

Malah, jualan Galaxy Z Flip 3 5G adalah lebih tinggi daripada mana-mana peranti boleh lipat yang lain. Dengan 4.6 juta jualan, Galaxy Z Flip 3 5G menyumbang kepada 52% daripada semua jualan peranti boleh lipat tahun lepas dan di kedudukan kedua ialah Samsung Galaxy Z Fold 3 5G dengan jualam 2.5 juta unit.

Secara keseluruhan, Samsung menyumbang 88% daripada jualan peranti boleh lipat dengan lebih 10 juta unit dijual ke seluruh dunia tahun lepas. Zaker Li, Penganalisis Utama Omdia mengaitkan Samsung mempunyai pasaran besar dalam rantaian bekalan paparan boleh lipat. Samsung Display dikatakan sebagai pembuat paparan boleh lipat nombor satu dunia.

Jenama kedua terbesar dalam pasaran tahun lepas ialah HUAWEI dengan 10% bahagian pasaran dan sekitar 0.9 juta unit terjual. HUAWEI mempunyai kelemahan kerana sekatannya di Amerika Syarikat di mana ia hanya boleh menjual model telefon pintar 4G yang telah dihantar ke pasaran domestik China.

Produk boleh lipat paling laris oleh HUAWEI tahun lepas ialah Mate X2 dengan sekitar 500000 unit terjual. Sementara itu, beberapa syarikat dari China seperti OPPO turut menyertai pasaran peranti boleh lipat tahun lepas dengan model OPPO Find N dan HONOR dengan model Magic V.

Secara keseluruhannya, pasaran telefon pintar boleh lipat menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa setiap tahun. Malah, pasaran meningkat 309% tahun ke tahun sejak telefon pintar boleh lipat pertama pada 2019. Tambahan pula, ia dijangka terus berkembang pada tahun ini. Apa pendapat anda tentang masa depan telefon pintar boleh lipat?

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: Omdia

Exit mobile version