Site icon TechNave BM

Kemas kini Telegram perkenalkan emoji, tema baharu serta fungsi rakaman strim

Telegram baru-baru ini telah melancarkan kemas kini terbarunya yang menambahkan beberapa ciri iaitu tema perbualan, emoji interaktif, resit membaca (read receipt) dalam kumpulan dan rakaman strim secara langsung.

Terdapat lapan pilihan tema perbualan yang mana ia ditetapkan untuk kedua-dua pengguna. Antara reka bentuk yang terdapat pada pilihan tema yang tersedia ialah tema buih gradien, animasi dan corak yang unik. Terdapat juga pilihan mod siang dan malam bagi setiap tema yang dipilih.

Kemas kini tersebut juga menambahkan ciri emoji interaktif. Emoji ini akan menghiasi paparan skrin anda apabila anda menyentuh mesej yang mempunyai emoji yang terpilih. Ia dapat dinikmati untuk keseluruhan rakan yang berada di dalam kumpulan perbualan tersebut dan animasi tersebut juga disertai dengan getaran.

Seterusnya, Telegram kini menambah ciri resit membaca (read receipt) dalam kumpulan. Pengguna dalam kumpulan kini boleh memilih mesej yang dihantar dan menyemaknya untuk mengetahui ahli dalam kumpulan berkenaan yang telah membacanya. Telegram mengatakan ia akan menyimpan rekod ini hanya selama tujuh hari sejak mesej tersebut dihantar.

Yang terakhir, pentadbir kumpulan kini boleh merakam strim secara langsung dan menyimpan bagi kegunaan rujukan ahli kumpulan lain selepas strim tersebut berakhir.

Kemas kini ini tersedia untuk semua paltform bagi pengguna Telegram. Kongsi pendapat anda tentang fungsi-fungsi baru Telegram ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: GSMArena

Exit mobile version