Microsoft melalui kemas kini Xbox bulan Julai memperkenalkan ciri baharu Stream Your Own Game pada aplikasi Xbox di PC. Ciri ini membolehkan pengguna Xbox Game Pass Ultimate dan ahli Xbox Insiders menstrim permainan milik mereka termasuk judul eksklusif konsol terus ke PC tanpa perlu memasang fail permainan.
Dengan sokongan lebih 250 tajuk termasuk permainan klasik dan “Xbox Play Anywhere”, pemain kini boleh menikmati koleksi permainan mereka di mana sahaja selagi mempunyai sambungan internet stabil. Microsoft turut mengesahkan lebih banyak permainan akan ditambah dari semasa ke semasa.
Selain itu, kemas kini ini membawa fungsi “Play History”, yang menyatukan sejarah permainan merentas konsol, PC, dan cloud dalam satu senarai, memudahkan pemain menyambung permainan di mana-mana peranti. Kelebihan utama ciri baharu ini ialah penjimatan ruang storan PC, kerana pengguna tidak lagi perlu memuat turun permainan bersaiz besar sebelum bermain.
Kemas kini ini mula tersedia untuk pengguna Xbox Insiders bermula hari ini dan dijangka dilancarkan kepada semua pengguna secara berperingkat. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Xbox

