Site icon TechNave BM

Kementerian Pengangkutan boleh gantung lesen syarikat “e-hailing” jika kenakan caj keterlaluan

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata lesen pengendali seru pandu (e-hailing operators) boleh digantung atau dibatalkan jika mereka tidak mematuhi jumlah surcaj yang dibenarkan iaitu 200 peratus daripada harga tambang dasar.

Berkenaan tambang dasar, pengendali seru pandu kini mengecaj 70 sen ke 90 sen per kilometer. Beliau berkata pengendali diberikan fleksibiliti untuk mengenakan surcaj berdasarkan permintaan dan penentuan harga dinamik, selagi mereka mematuhi undang-undang sedia ada dan tidak melebihi 200 peratus daripada tambang dasar.

Selain itu, beliau mengkritik pengendali seru pandu yang meningkatkan harga pekhidmatan mereka baru-baru ini. Pengendali seru pandu berkata tindakan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran RM10,000 daripada KWSP baru-baru ini telah menurunkan jumlah pemandu seru pandu, namun Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengatakan alasan itu tidak munasabah.

Bagi menangani masalah kenaikan harga tambang seru pandu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan mengenainya. Jika didapati bersalah, lesen pengendali seru pandu boleh digantung atau dibatalkan.

Beliau turut mendesak pengendali seru pandu supaya tidak berterusan mendesak kerajaan. Kementerian Pengangkutan telah pun memberi kemudahan kepada mereka seperti kelonggaran untuk mendapatkan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

Pada masa ini, terdapat 28 syarikat yang bertindak sebagai pengendali seru pandu dan beliau menasihatkan pengguna untuk memilih pengendali yang lebih sesuai.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version