Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan menyediakan pakej langganan internet jalur lebar berkelajuan tinggi kepada sekolah-sekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermula 1 Julai 2024.
Pakej tersebut akan menggunakan projek Point of Presence (PoP) yang menawarkan internet berkelajuan tinggi talian tetap dengan stabil pada harga lebih murah berbanding talian mudah alih. Sekitar 10,000 sekolah di bawah KPM akan menerima manfaat ini bermula 1 Julai 2024.
Dengan perkhidmatan ini, kerajaan berharap ia boleh dimanfaatkan oleh para pelajar, khususnya di Sabah, untuk melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran serta meningkatkan taraf hidup.
Selain itu, beliau berkata kerajaan juga akan menyediakan access point tambahan dalam sekolah seperti WiFi tambahan kerana capaian internet yang laju hanya boleh sampai hingga bilik guru, pusat sumber sekolah dan makmal komputer sahaja. Dengan access point tambahan, internet berkelajuan tinggi itu boleh dimanfaatkan dalam kawasan yang lebih luas di sekolah.
Beberapa projek PoP sekolah luar bandar dan pedalaman seperti Sekolah Kebangsaan Balimbang di Sabah akan dijadikan hab penyediaan infrastruktur jalur gentian optik bagi memudahkan masyarakat setempat menikmati internet jalur lebar yang lebih stabil. Setakat Mei 2024, sebanyak 1,044 PoP daripada 4,370 PoP di seluruh negara telah pun disiapkan.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

