Site icon TechNave BM

Kerajaan akan mula mengawal selia perkhidmatan awan pada Januari 2022

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengumumkan bahawa mereka akan mula melaksanakan kawal selia ringan (light touch regulation) ke atas penyedia perkhidmatan awan (cloud services) di Malaysia bermula 1 Januari 2022.

Agensi komunikasi itu mengatakan kawal selia ini adalah penting untuk menjamin keselamatan, privasi dan aliran data pengguna dalam sebarang perkhidmatan awan. Ia akan dilaksanakan melalui pelesenan perkhidmatan awan yang boleh didapatkan dengan yuran pendaftaran RM2,500 setahun.

SKMM berharap lesen ini akan membantu mereka bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan awan bagi menghasilkan instrumen kawal selia seperti kod teknikal dan prosedur operasi standard (SOP) mengenai keselamatan data. Ia juga diperkenalkan selepas SKMM mempertimbangkan pendapat pihak industri tempatan dan asing yang khuatir dengan kesan daripada kawal selia ini, termasuk daripada segi kes operasi.

Inisiatif ini adalah selari dengan MyDIGITAL, di mana kerajaan ingin melaksanakan strategi yang mengutamakan perkhidmatan awan (cloud first policy) bagi memudahkan urusan seharian rakyat Malaysia. SKMM mendefinisikan perkhidmatan awan sebagai perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna akhir mengikut permintaannya, di mana perkhidmatan itu disediakan melalui internet daripada pelayan (server) penyedia perkhidmatan.

Beritahu pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: SKMM

Exit mobile version