Site icon TechNave BM

Kerajaan Arab Saudi seru umat Islam tangguh perancangan haji atau umrah tahun ini

Kerajaan Arab Saudi hari ini meminta umat Islam untuk menangguhkan sebarang rancangan haji atau umrah pada tahun ini berikutan situasi COVID-19 yang masih tidak dapat dikawal dalam banyak negara. Menurut Menteri Haji dan Umrah Saudi, Mohammed Saleh Benten, kerajaannya meminta pelan haji untuk ditangguhkan agar kesihatan umat Islam terjaga.

Memandangkan ini adalah sebuah pandemik sedunia, Mohammed Saleh juga mengatakan umat Islam perlu tunggu sehingga situasi menjadi pulih. Sebelum ini, kerajaan Saudi sudah pun menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat perjalanan domestik di beberapa bandar utama termasuk Mekah dan Madinah.

Walaupun sebelum ini kerajaan Saudi pernah mengambil langkah berjaga-jaga terhadap jemaah luar sewaktu wabak MERS dan Ebola, ia hanya melibatkan jemaah dari negara-negara yang berisiko tinggi. Tentunya jika haji ini dibatalkan, bukan sahaja ia adalah pertama kali dalam tempoh beratus tahun malah kerajaan Saudi juga akan kehilangan satu sumber pendapatan yang besar.

Marilah kita berdoa agar wabak ini hilang segera dan kita semua boleh menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah lagi. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Reuters

Exit mobile version