Site icon TechNave BM

Kerajaan batalkan hak kapal asing untuk pasang dan baiki kabel internet bawah laut

Beberapa hari yang lalu, bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mempersoalkan kerajaan terkini berkenaan keputusan pembatalan pengecualian untuk kapal asing menyelenggara kabel internet bawah laut. Perkara ini turut dipersoalkan dari segi kebimbangan terhadap keperluan syarikat telekomunikasi dan keperluan internet.

Untuk pengetahuan anda, pembatalan pengecualian ini sudah berkuat kuasa bermula 15 November 2020. Perkara ini dapat dilihat melalui Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 13 November 2020 seperti di bawah.

Terdahulu, pengecualian ini diperkenal untuk syarikat negara asing melakukan kerja baik pulih, menyelenggara kabel bawah laut dan segala aktiviti di bawah polisi kabotaj. Kabotaj yang mula berkuatkuasa di Malaysia pada tahun 1980-an dilapor mampu melindungi dan merangsang industri perkapalan domestik. Pengecualian kabotaj untuk kapal asing ini dahulunya dimohon oleh Telekom Malaysia dan Time dotCom dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada tahun lepas.

Dengan pengecualian ini, sebenarnya Malaysia boleh bersaing untuk menarik perhatian pelabur asing seperti Facebook atau Google untuk membina kabel bawah laut atau pusat data. Malaysia juga perlu menjalankan kerja baik pulih besar kira-kira 6 kali setahun. Jika kabel bawah laut rosak, ia akan memberi kesan kepada internet dan syarikat telekomunikasi tempatan. Penguatkuasaan pembatalan pengecualian yang dilakukan oleh kerajaan terkini akan memberi kesan terhadap kerja penyelenggaraan.

Apa pun, Malaysia Shipowners’ Association (MASA) dilihat berterima kasih kepada Menteri Pengangkutan terkini, Datuk Dr Wee Ka Siong untuk arahan pembatan pengecualian kepada kapal asing. Tindakan ini disifatkan sebagai usaha untuk mendahulukan Malaysia dan memperbaik industri perkapalan tempatan.

Apa pula pendapat anda mengenai hal ini? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: 1 melalui 2, 3

Gambar ihsan Tech Startups

Exit mobile version