Site icon TechNave BM

Kerajaan China benarkan golongan remaja main “game” selama 3 jam sahaja dalam seminggu

Kerajaan China telah memperkenalkan sebuah undang-undang baru yang bertujuan untuk menyekat golongan remaja daripada meluangkan terlalu banyak masa bermain permainan video.

Dalam undang-undang itu, rakyat China di bawah umur 18 tahun hanya boleh bermain game daripada pukul 8:00 malam sehingga 9:00 malam, pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja. Mereka juga dibenarkan untuk bermain dalam waktu yang sama pada hari cuti awam.

Syarikat game pula tidak dibenarkan untuk menawarkan perkhidmatan mereka kepada golongan remaja di luar waktu yang dibenarkan. Mereka juga harus mewajibkan para pemain untuk mendaftarkan nama penuh sewaktu ingin membuat akaun dalam game mereka agar ia lebih mudah dipantau oleh kerajaan.

Kekangan ini akan dikuatkuasakan dalam pelbagai peranti elektronik termasuk telefon pintar. Sebelum ini, kerajaan China mengehadkan waktu permainan video di kalangan remaja bawah 18 tahun sebanyak 1.5 jam sahaja sehari dan tiga jam untuk hari cuti.

Undang-undang ini telah diperkenalkan oleh Pentadbiran Penerbitan dan Akhbar Kebangsaan (National Press and Publication Administration, NPPA) dalam usaha untuk mengurangkan ketagihan game di kalangan remaja. Mereka berharap usaha ini akan melindungi kesihatan fizikal dan mental di kalangan anak muda yang akan menjadi masa depan China.

Tindakan ini mendapat kecaman yang luas daripada netizen China, di mana ramai yang menyoal keberkesanan undang-undang ini dalam media sosial Weibo. Mereka mengandaikan golongan remaja akan menggunakan nama ibu bapa mereka sewaktu bermain game untuk memintas undang-undang ini.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Reuters

Exit mobile version