Site icon TechNave BM

Kerajaan ingin penjelasan dari Google mengenai kadar pertukaran Ringgit-USD yang tidak tepat

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan meminta penjelasan daripada pihak Google berkenaan isu kadar pertukaran mata wang yang tidak tepat di antara Dollar Amerika Syarikat (USD) dengan Ringgit Malaysia (MYR).

Baru-baru ini, terdapat sebuah tangkapan skrin (screenshot) yang tular dalam media sosial, menunjukkan hasil carian Google yang mengatakan 1USD telah pun mencecah RM4.98. Kerajaan menjelaskan bahawa itu adalah maklumat yang tidak tepat dan terdapat ralat (glitch) daripada pihak Google.

Bank Negara Malaysia (BNM) turut mengeluarkan kenyataan baahwa kadar pertukaran sebenar di antara USD dan MYR adalah sekitar MYR4.7975 untuk USD1.

Fahmi berkata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Gabenor (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour telah menghubungi pihak Google untuk menangani isu tersebut. Beliau turut berkata bahawa memandangkan Google adalah satu rujukan yang kerap diguna oleh orang awam, paparan data yang tidak tepat seperti itu akan menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sewaktu kerajaan sedang berusaha memacu pertumbuhan semula ekonomi negara dengan keyakinan yang ditunjukkan kepada pelabur, ini adalah sesuatu yang tidak harus berlaku atau berulang. Sebelum ini, kesilapan yang serupa juga telah dipaparkan oleh Google pada 6 Februari 2024.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version