Site icon TechNave BM

Kerajaan jamin keselamatan siber data anda dalam PADU, gesa anda daftar segera

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa keselamatan dan kerahsiaan maklumat dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) adalah selamat dan terjamin daripada kebocoran. Ia diselenggara sepenuhnya oleh agensi Jabatan Digital Negara (JDN) yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Jika sebarang perkara yang tidak diingini berlaku, PADU melalui Pasukan Tindak Balas Insiden Keselamatan Siber Sektor Awam (CSIRT) akan bertindak balas melalui prosedur yang telah ditetapkan.

Beliau menasihati orang awam supaya mendaftar dan membuat pengemaskinian PADU secepat mungkin bagi membantu kerajaan membuat perancangan program dan bantuan pada masa hadapan. Buat masa ini, lebih 7.36 juta rakyat Malaysia bersamaan dengan 35 peratus penduduk telah mengemas kini maklumat dalam sistem PADU.

Beliau juga berpandangan baik bahawa lebih ramai orang akan mendaftarkan diri dan mengemas kini maklumat mereka sebelum hari terakhir untuk melakukan sedemikian iaitu 31 Mac 2024. Bagi membantu merancakkan pendaftaran PADU, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah membuka banyak kaunter fizikal di seluruh negara serta membuat hebahan melalui saluran media massa, media rasmi kerajaan dan media sosial.

PADU telah diluncurkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu bagi menyediakan pangkalan data utama negara yang selamat, lengkap dan hampir masa sebenar (near real-time). Ia juga bertujuan untuk meningkatkan penyampaian bantuan kerajaan dengan lebih cekap, sambil menjimatkan sumber negara secara signifikan.

Anda boleh baca artikel ini untuk maklumat lanjut mengenai PADU.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA (1,2)

Exit mobile version