Salah satu berita terbesar pada awal minggu ini adalah keputusan kerajaan Malaysia untuk melarang remaja bawah 16 tahun daripada membuka akaun media sosial. Namun begitu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching turut mengesahkan bahawa ibu bapa tidak akan dikenakan tindakan sekiranya anak di bawah umur 16 tahun mempunyai atau menggunakan akaun media sosial.
Kenyataan ini disampaikan oleh Teo Nie Ching semasa sesi Parlimen pada 24 November 2025. Beliau menjelaskan bahawa walaupun kerajaan komited untuk menangani ketagihan media sosial dan internet dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, sebarang keputusan untuk menghukum ibu bapa memerlukan perbincangan serta persetujuan penuh Jemaah Menteri.
Beliau turut memperincikan bahawa larangan membuka akaun media sosial bagi mereka di bawah umur 16 tidak bermaksud melarang penggunaan internet sepenuhnya. “Apabila kita kata kanak-kanak bawah 16 tahun tidak boleh membuka akaun media sosial, itu tidak bermaksud mereka langsung tidak boleh menggunakan internet,” katanya.
Teo menekankan bahawa kebimbangan timbul apabila kanak-kanak diberikan telefon pintar atau tablet tanpa kawalan dan pemantauan kandungan oleh ibu bapa. Buat masa ini, tiada keputusan atau dasar untuk mengenakan hukuman kepada ibu bapa. Kenyataan ini dibuat sebagai sebahagian daripada strategi Malaysia untuk mengawal selia platform digital dan melindungi golongan bawah umur dalam talian.
Walaupun langkah pengesahan umur sedang dipertimbangkan, kementerian menegaskan bahawa pendidikan dan pengawasan ibu bapa masih sangat penting buat masa ini. “Ibu bapa tetap mempunyai tanggungjawab untuk membimbing anak-anak mereka,” kata Teo, sambil memberi contoh platform seperti YouTube Kids yang memerlukan pemantauan rapi.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

