Site icon TechNave BM

Kerajaan lancarkan NAVi: Kereta tanpa pemandu pertama di Malaysia

Hari ini, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan Inisiatif Kenderaan Autonomi NanoMalaysia (NAVi) serta merasmikan demonstrasi Robot Penghantaran Berautonomi NanoMalaysia (NAVi Delivery atau NAVi-D).

NAVi menumpukan pada sektor pengangkutan manakala NAVi-D merupakan evolusi daripada NAVi yang memberi tumpuan kepada penghantaran bungkusan dan produk makanan. Teknologi teras NAVi-D berasaskan senibina perisian NAVi.

NAVi dicipta sebagai persediaan untuk sektor pengangkutan dan automotif Malaysia memasuki era sistem autonomi. Selain daripada menyokong inovasi dan penerimagunaan 4IR, ianya juga bertujuan untuk menangani kadar dan punca kemalangan dalam negara yang semakin meningkat.

Kenderaan yang mencapai autonomi Tahap 4 ini mampu untuk bertindak balas dengan cekap dalam menangani gangguan tumpuan dan refleks pemandu yang terhad. Dengan kelebihan ini, maka insiden yang tidak diingini boleh dielakkan daripada berlaku. NAVi kini sedang menjalani fasa ujian di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil.

Kawasan dijadualkan akan menjadi laluan yang diluluskan untuk AV di bawah rangka kerja makmal amali Hab Inovasi Antarabangsa TPM. Bagi menyokong pembangunan penyelesaian AV pada masa yang akan datang, infrastruktur seperti tanda jalan, papan tanda, pusat arahan pusat dan sambungan 5G kini sedang dibina.

Adakah anda berminat untuk memilikinya jika ia dijual kelak? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version