Site icon TechNave BM

Kerajaan lancarkan subsidi RM300 untuk pembelian telefon serta pelbagai bantuan teknologi lain

Kerajaan Malaysia hari ini telah melancarkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bagi merangsangkan ekonomi negara selepas wabak COVID-19. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyenaraikan beberapa bentuk bantuan untuk pelbagai industri dan rakyat, termasuklah daripada segi teknologi.

Dalam usaha untuk mengurangkan jurang digital di kalangan seluruh rakyat Malaysia, PEMERKASA memperkenalkan beberapa inisiatif bagi meningkatkan mutu telekomunikasi dan memudahkan rakyat untuk memiliki peranti elektronik. Kerajaan akan memperkenalkan subsidi pembelian telefon sebanyak RM300 buat keluarga yang masih mempunyai anak bersekolah.

Kerajaan juga akan memulakan Program MyBAIKHATI, iaitu sebuah inisiatif crowdfunding yang akan mengagihkan komputer riba dan peranti elektronik baru dan terpakai di kalangan Pusat Internet Komuniti serta pertubuhan masyarakat.

Selari dengan pengenalan program MyDigital untuk merancakkan ekonomi digital negara, kerajaan mensasarkan rangkaian 5G komersil untuk mula beroperasi pada akhir tahun ini. Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) juga memperuntukkan RM3.2 bilion di bawah Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat untuk menaik taraf stesen pemancar sedia ada dan meluaskan capaian gentian optik.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami tentang inisiatif teknologi ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version