Site icon TechNave BM

Kerajaan minta rakyat tidak buat spekulasi tentang serpihan roket China yang melintasi langit Sarawak

Semalam, serpihan daripada roket Long March 5B milik China telah dikesan di langit Sarawak, apabila roket tersebut jatuh semula ke Bumi (re-entry) selepas pelancaranya pada 24 Julai lalu.

Serpihan daripada roket seberat 22.5 tan itu memasuki atmosfera Bumi di atas Lautan Hindi pada 12:45 tengah malam, 31 Julai 2022 waktu Malaysia. Ia jelas kelihatan dari beberapa daerah Sarawak seperti Sibu, Bintulu, Kuching dan banyak lagi.

Netizen Sarawak juga melaporkan mereka boleh mendengar beberapa bunyi letupan. Roket tersebut terhempas di Lautan Sulu pada koordinat latitud 9.1° Utara dan longitud 119.0° Timur.

Dalam pada itu, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) sedang memantau situasi terkini berkenaan satelit tersebut. Beliau juga meminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi berkenaannya.

Sebelum ini, MYSA berkata serpihan roket tersebut tidak akan terhempas di Malaysia. Sebahagian besar daripada serpihan tersebut akan terbakar sewaktu ia memasuki atmosfera dan hanya objek kecil yang akan terhempas di lautan. Memandangkan Malaysia tidak mempunyai saiz darat yang besar, kemungkinan serpihan roket tersebut untuk mendarat di Malaysia adalah rendah.

Sementara itu, Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) Amerika Syarikat berkata China tidak berkongsi sebarang maklumat berkenaan trajektori serpihan roket tersebut.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Berita Harian, The Star

Exit mobile version