Site icon TechNave BM

Kerajaan mulakan kaedah imbas kod QR di KLIA untuk cepatkan pelepasan imigresen

Bermula hari ini, kerajaan akan memulakan tempoh percubaan untuk penggunaan Kod Respons Pantas (QR) sewaktu pelepasan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan KLIA Terminal 2 (T2). Kaedah ini diperkenalkan bagi melancarkan sistem pelepasan imigresen di 40 lorong terpilih dalam kedua-dua lapangan terbang.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kaedah kod QR ini diperkenalkan bagi menyelesaikan isu kesesakan yang selalu berlaku di pintu masuk negara dalam KLIA, terutamanya sewaktu waktu puncak dan musim perayaan. Buat masa ini, ia hanya boleh digunakan oleh rakyat Malaysia sahaja.

Dengan kaedah ini, tempoh pelepasan untuk seorang individu boleh disingkatkan kepada lima hingga tujuh saat sahaja, berbanding 15 hingga 25 saat dengan kaedah pintu automatik konvensional. Ia juga meningkatkan aspek keselamatan dan kecekapan perkhidmatan, sambil mengurangkan ketirisan maklumat.

Pengembara masih wajib membawa pasport sewaktu berada di lapangan terbang, namun mereka tidak perlu mengeluarkannya sewaktu melakukan pelepasan imigresen.

Walaupun dengan pengenalan kaedah kod QR, kemudahan kaunter manual dan sistem pagar automatik akan terus disediakan untuk para pengembara.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk mencuba kaedah baharu ini di lapangan terbang dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version