Site icon TechNave BM

Kerajaan perlu kemas kini peta baharu sempadan di Laut China Selatan

Kerajaan disarankan untuk mengeluarkan peta maritim baharu bagi memperjelaskan sempadan kawasan kedaulatan Malaysia di Laut China Selatan. Peta terakhir yang dikeluarkan pada tahun 1979 kini sudah lapuk kerana banyak perubahan pada persempadanan dan tuntutan maritim sejak itu.

Menurut Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), peta terkini diperlukan untuk menunjukkan wilayah maritim Malaysia terutamanya kerana Indonesia sudah mengeluarkan peta baharu mereka pada 2017.

Tambahnya, dalam undang-undang antarabangsa, sikap berdiam diri boleh dianggap sebagai pengakuan terhadap tuntutan kedaulatan negara lain. Pada masa yang sama, Malaysia baru-baru ini menghantar nota bantahan kepada Filipina selepas negara itu meluluskan dua akta baharu yang mengubah sempadan maritim dan tuntutan ke atas Sabah.

Tindakan Filipina ini juga menuntut hak maritim di Laut China Selatan yang merupakan kawasan yang dipertikaikan. Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata bahawa undang-undang baharu Filipina itu melangkaui sempadan peta Malaysia yang dikeluarkan pada 1979 dan ini menunjukkan perlunya Malaysia bertegas dalam mempertahankan kedaulatannya di kawasan tersebut.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BH Online

Exit mobile version