Site icon TechNave BM

Kerajaan perlukan setiap pembayaran dibuat secara digital mulai 2022 – Menteri Kewangan

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengatakan semua pembayaran yang dilakukan untuk perkhidmatan kerajaan bakal dilaksanakan secara tanpa tunai sahaja bermula 2022. Ini adalah selari dengan sasaran inisiatif MyDIGITAL yang dilancar pada Februari lalu untuk meningkatkan kemudahan digital di kalangan rakyat Malaysia.

Beliau mengatakan transaksi secara digital ini adalah lebih selamat, lebih diselaraskan serta memudahkan agensi kerajaan untuk meningkatkan usaha antirasuah. Kerajaan kini sedang menggalakkan proses pendigitalan dalam pelbagai aspek perkhidmatan awam seperti sistem kad pengenalan elektronik dan pengesahan identiti secara biometrik bagi mempercepatkan segala tugasan.

Setakat tahun lepas, kerajaan telah pun mencatatkan pembayaran digital sebanyak 60 peratus untuk segalaurusan kerajaan. Selain itu, bantuan kewangan seperti Bantuan Prihatin Rakyat dan Geran Khas Prihatin juga telah disalurkan secara elektronik, tanpa melibatkan sebarang wang tunai fizikal.

Datuk Seri Zafrul mengeluarkan kenyataan sewaktu berucap merasmikan Persidangan Institut Akauntan Malaysia (MIA) 2021 yang dianjurkan secara digital hari ini. Beliau menggesa para akauntan dalam memacu agenda digitalisasi negara melalui Rangka Tindakan Teknologi Digital MIA.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Sinar Harian

Exit mobile version