Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bertemu dengan platform media sosial untuk membincangkan pelaksanaan pengesahan identiti pengguna (eKYC) dalam menetapkan had umur 16 tahun dan ke atas untuk akses ke media sosial.
Inisiatif ini penting bagi melindungi keselamatan kanak-kanak dalam talian, termasuklah melindungi mereka daripada pemangsa seksual dan pedofilia.
Antara platform media sosial yang terlibat termasuklah Meta, Google, X dan TikTok. Mereka akan membincangkan mekanisme terbaik untuk melaksanakan eKYC seperti penggunaan MyKad, pasport, MyDigital ID atau lain-lain dokumen rasmi bagi mengesahkan identiti.
Pertemuan ini akan turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Langkah perlindungan identiti ini selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 untuk memastikan tiada ketirisan maklumat berlaku.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan akan meneruskan langkah melesenkan platform media sosial untuk menjamin keselamatan dalam talian, terutamanya buat kanak-kanak dan keluarga.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA

