Site icon TechNave BM

Kerajaan rancang larangkan penggunaan telefon pintar di sekolah

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada masa ini sedang meneliti garis panduan untuk meningkatkan keselamatan di semua institusi pendidikan, termasuklah melarang penggunaan telefon pintar di semua sekolah untuk murid bawah 16 tahun.

Ia bakal menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menetapkan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial, terutamanya untuk melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ancaman siber.

Ia juga bertujuan untuk membendung pengaruh negatif dalam media sosial serta ketagihan permainan dalam talian. Pelaksanaannya akan diteliti oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah-langkah ini dipertimbangkan kerana pendedahan yang berlebihan terhadap kandungan digital boleh membawa kepada ketagihan dan kecenderungan kepada perilaku jenayah.

Kerajaan perlu mengambil pendirian tegas untuk memastikan penggunaan teknologi tidak menjejaskan kesejahteraan para pelajar terhadap pembelajaran.

Beliau juga menegaskan peranan ibu bapa yang amat penting dalam membentuk akhlak anak-anak, selain tanggungjawab yang dipikul oleh pihak sekolah dan kerajaan. Terutamanya, beliau meminta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan lebih aktif dalam memupuk nilai murni dalam kalangan pelajar.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Astro Awani

Exit mobile version