Site icon TechNave BM

Kerajaan Rusia mula sekat akses terhadap Facebook dan Twitter

Kerajaan Rusia kini bertindak menghalang akses kepada dua perkhidmatan media sosial popular, Facebook dan Twitter, oleh rakyat di negara terbesar itu. Sekatan ini berkuat kuasa pada hari ketiga sejak Rusia memulakan serangan terhadap negara jiran Ukraine.

Buat masa ini, Twitter telah disekat sepenuhnya oleh kerajaan Rusia dan rakyat yang ingin mengakses media sosial itu perlu menggunakan perisian VPN untuk mengatasi sekatan tersebut.

Daripada pihak Twitter, mereka memansuhkan fungsi pengiklanan di Ukraine dan Rusia buat sementara bagi memastikan bahawa maklumat penting untuk keselamatan orang awam akan diutamakan terlebih dahulu. Twitter juga akan berwaspada terhadap sebarang tindakan untuk memanipulasi platform tersebut daripada wartawan, agensi kerajaan, para aktivis atau sebarang akaun berprofil tinggi.

Untuk Facebook pula, ia masih boleh diakses oleh rakyat Rusia namun kerajaan Rusia telah menyekat akses terhadap beberapa akaun terpilih di mana akaun-akaun ini telah berkongsi video-video kemusnahan dari Ukraine. Badan berkuasa Rusia untuk telekomunikasi, Roskomnadzor, mengatakan terdapat 23 kes melibatkan video yang melanggari garis panduan negara itu di Facebook.

Presiden hal ehwal global Meta, Nick Clegg, membalas kenyataan Roskomnadzor itu dengan mengatakan bahawa Facebook tidak akan patuh kepada arahan daripada kerajaan Rusia dan bertegas bahawa Meta akan terus menyediakan platform kepada rakyat Rusia untuk menyuarakan suara mereka.

Setakat ini masih tidak diketahui sama ada perkhidmatan lain oleh Meta seperti WhatsApp, Instagram dan Facebook Messenger akan terjejas akibat sekatan ini.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Verge

Exit mobile version