Kerajaan Negeri Sarawak secara rasmi memuktamadkan pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings melalui pemeteraian perjanjian jual beli dengan Malaysia Aviation Group (MAG). Dalam majlis tersebut, Kerajaan Negeri turut mengumumkan nama baharu bagi syarikat penerbangan itu, iaitu ‘AirBorneo’.
Dalam ucapan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan bahawa AirBorneo akan beroperasi sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh yang menawarkan perkhidmatan penerbangan berkualiti tinggi kepada penumpang.
Beliau turut menegaskan bahawa penubuhan AirBorneo akan membantu meningkatkan keseimbangan antara kesalinghubungan, keterjangkauan harga tiket serta manfaat ekonomi bagi negeri Sarawak. Selain itu, langkah strategik ini akan membolehkan Sarawak muncul sebagai hab penerbangan utama di Borneo dan menjadi pintu masuk ke rantau ASEAN.
Inisiatif ini dijangka akan membuka lebih banyak peluang dan mengukuhkan hubungan udara dengan destinasi domestik serta antarabangsa. Dengan pengenalan AirBorneo, Sarawak kini bersedia untuk memperkukuh industri penerbangannya dan menawarkan pengalaman penerbangan yang lebih selesa dan efisien kepada rakyat serta para pelancong.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

