Site icon TechNave BM

Kerajaan sasar biaya 5,800 pelajar B40 lanjut pengajian di IPTA mulai 2026

Kerajaan berhasrat membantu lebih ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pengajian tinggi menerusi inisiatif baharu yang akan dilaksanakan pada tahun 2026. Bantuan itu akan disalurkan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa sebanyak RM120 juta diperuntukkan setiap tahun bagi membiayai kira-kira 5,800 pelajar daripada keluarga berpendapatan di bawah RM2,705 sebulan untuk melanjutkan pengajian di universiti awam (IPTA).

Tambahnya, jumlah peruntukan tahunan ini boleh ditambah pada masa depan bergantung kepada kemampuan kewangan negara. Selain itu, kerajaan juga akan menambah 1,500 tempat baharu untuk pelajar di lima universiti penyelidikan yang meliputi 10 bidang utama seperti undang-undang, perakaunan, ekonomi, perbankan, kewangan Islam, kecerdasan buatan (AI) dan bahasa.

Dalam masa sama, kerajaan turut memperkenalkan langkah “ganjaran dan hukuman seimbang” bagi peminjam PTPTN. Seramai 6,000 peminjam daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana akan diberikan pengecualian bayaran balik pinjaman sekiranya mereka menamatkan pengajian dengan ijazah kelas pertama di IPTA.

Namun, sekatan perjalanan akan dikenakan terhadap peminjam yang mampu tetapi enggan melunaskan hutang mereka. Inisiatif ini dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan memastikan akses pendidikan tinggi lebih inklusif dan adil terutama bagi keluarga kurang berkemampuan.

Kongsi pendapat anda di Facebook tentang inisiatif ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: TechNaveEn

Exit mobile version