Site icon TechNave BM

Kerajaan sasarkan 1.5 juta EV di Malaysia menjelang 2040

Kerajaan menyasarkan 1.5 juta kenderaan elektrik (EV) di negara ini menjelang 2040. Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata sasaran itu berikutan penghijrahan infrastruktur EV di peringkat global melibatkan penukaran kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) yang dikuasakan oleh petrol kepada EV.

Katanya, sasaran baharu itu adalah peningkatan berbanding sasaran yang ditetapkan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan bagi Bekalan dan Tarif Elektrik (JPPPET) sebelum ini iaitu 90,000 EV menjelang 2040. Beliau menjangkakan akan ada tekanan daripada negara maju untuk ‘berhijrah’ kepada kenderaan elektrik dan Malaysia perlu lebih bersedia.

“Atas dasar itu, ia juga tergambar (berkait) dengan sasaran-sasaran tentang (pembinaan) stesen pengecasan, yang dibina oleh misalnya Gentari Sdn Bhd (Gentari), Tenaga Nasional dan juga pihak swasta seluruh negara dalam usaha membantu usaha eletrifikasi tersebut,” katanya.

Mengenai status terkini berhubung matlamat Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050 seperti yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, beliau berkata kerajaan sedang mewujudkan Pelan Hala Tuju dan Pelan Tindakan Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) dan LT-LEDS.

Menurutnya, Pelan Tindakan dan Pelan Tindakan NDC serta Long-term Low Emissions and Development Strategies (LT-LEDS) dijangka dimuktamadkan pada suku keempat 2023. Berita baik kepada rakyat Malaysia kerana Proton telah melancarkan model hibrid pertamanya iaitu Proton X90 untuk menggalakkan negara ke arah bebas karbon.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini. 

Sumber: BERNAMA

Lihat Kiriman

Exit mobile version