Kementerian Komunikasi mengumumkan pemberian insentif rebat RAHMAH kepada semua rakyat Malaysia pada hari pertama sambutan Hari Raya Aidilfitri. Kementerian menjelaskan bahawa insentif ini melibatkan tambahan kuota minimum sebanyak 5GB untuk pengguna prabayar dan pascabayar di Malaysia.
Menurut kenyataan tersebut, kuota tambahan ini akan sah untuk tempoh sekurang-kurangnya 24 jam tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian dalam program ini. Antara syarikat yang terlibat ialah CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Pavo Comms, Tune Talk, redONE, REDtone dan XOX Com.
Maklumat lanjut mengenai insentif rebat RAHMAH ini akan diumumkan oleh setiap syarikat telekomunikasi dan pengguna boleh merujuk kepada Soalan Lazim (FAQ) yang disediakan oleh Kementerian Komunikasi. Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata bahawa insentif ini bukanlah subsidi kerajaan tetapi sepenuhnya ditanggung oleh syarikat telekomunikasi yang terlibat.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha kementerian dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk kesejahteraan rakyat serta dapat mengukuhkan hubungan silaturahim melalui komunikasi dalam talian sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

